Monday, August 11, 2008

Kebenaran yang 'menyakitkan'




Mendengar dan mengetahui tentang kebenaran kadang kala amat menyakitkan. Ianya sungguh menduga kekuatan hati dan jiwa dan memerlukan kebijaksanaan akal dan minda untuk merasionalkan kebenaran yang dibisikkan di telinga. Saya bukan bercakap mengenai kebenaran di pihak kedua atau ketiga. Tetapi, kebenaran yang dimaksudkan adalah kebenaran di pihak pertama iaitu empunya badan atau lebih tepat diri kita sendiri.
Bukan kebenaran apa-apa, tetapi kebenaran yang kurang enak di dengari atau dengan bahasa mudah kelemahan dan keburukan diri. Jika dijaja cerita buruk mengenai kita, tentu panas punggung kita melompat marah. Jika dikritik secara semborono tanpa lapik, panasnya terasa juga. Atau jika dibisik di telinga dengan cara yang paling baikpun, tidak terlepas dari terasa peritnya. Manakan tidak, itu perkara yang tidak berapa sedap.

Memang tiada manusia di muka bumi ini yang suka mendengar perkara yang tidak elok mengenai dirinya. Tetapi jika tiada siapa yang mengingat-ingatkan atau menegur, sukar sekali rasanya untuk kita ’perasan’ mengenai yang tidak elok berkenaan diri sendiri seperti mana yang kita nampak degan jelas pada orang lain! Kita tidak dapat merakam aksi dan perbuatan kita saban hari untuk kita kembali memainkan rakaman itu dan membuat post-mortem. Tetapi, kita tidak lepas daripada pandangan dan penilaian orang di sekeliling, baik suami, anak-anak, rakan-rakan sekerja ataupun bos yang dapat memerhati dan mereka ini sudah tentu tidak lepas daripada menilai perilaku dan peribadi kita. Sama sahaja seperti kita, kita pun memerhati orang di sekeliling dan tidak lepas dari membuat penilaian mengikut kacamata kita sendiri mengenai itu dan ini begitu dan begini perihal orang lain, maka, begitu jugalah orang-orang lain yang menilai kita itu dan ini begitu dan begini.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama membuka dada menerima teguran dan pandangan orang mengenai diri kita sendiri. Yang elok memang tiada masalah untuk kita tersenyum bersyukur dengan pandangan baik itu, tetapi bagi kebenaran yang tidak enak didengar itu, kita ambillah sebagai kesempatan untuk kita memperbaiki diri.

Terima kasih kita panjatkan kepada yang ikhlas memperingati dan berhemah meneguri kerana merekalah sahabat sejati yang benar-benar menyayangi.
Terima kasih juga kita panjatkan kepada yang hebat mengkritik, kerana mereka dapat membuatkan kita lebih berhati-hati.

No comments: