Thursday, November 15, 2007

Bergembira menangani masalah?

Kepandaian dalam berhadapan dalam krisis dan cabaran merupakan satu elemen penting dalam kehidupan seseorang kerana secara fitrahnya, tiada kehidupan yang tidak melalui krisis dan konflik.

Seawal dilahirkan lagi, seorang manusia itu berdepan dengan satu cabaran baru untuk membiasakan diri dengan alam dunia, yang nyata berbeza dengan alam rahim. Usah dikira kepayahan ketika waktu kelahiran, di mana kedua-dua bayi dan ibu berperang dengan maut dalam menjayakannya. Namun begitu, kita terlalu hingusan untuk memahami krisis seawal hidup tersebut.

Hari demi hari, semakin kita membesar, semakin kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam proses perkembangan diri kira daripada alam bayi ke alam kanak-kanak. Namun, sebagai kanak-kanak, dunia bagi kita adalah sebuah padang permainan besar yang menyediakan pelbagai perkara dan aktiviti untuk kita bersuka-ria dan bermain.

Sebenarnya pada ketika ini, tanpa kita sedari kita telah memupuk satu kemahiran diri dalam menghadapi cabaran hidup kita di waktu itu. Sebagai contoh, antara kemahuan yang meluap-luap untuk bermain bersama kawan dan kemestian untuk serius dalam belajar dengan ‘tekanan’ yang diberikan ibu bapa ke arah itu, sebenarnya merupakan satu konflik walau tidak sepayah mana kerana kita terpaksa mengorbankan kemahuan yang meluap itu semata-mata ingin memberikan ruang dan waktu untuk pembelajaran pula.

Namun begitu kita sentiasa membayangkan bahawa kita sentiasa mempunyai esok hari lagi untuk bermain dan bayangan keseronokan ini sentiasa menggembirakan kita, bukan? Kita begitu asyik berseronok bermain dan otak kita sentiasa terprogram mencari idea untuk bermain tidak kira di mana dan bila masa sahaja!

Kepayahan dalam belajar menunggang basikal misalnya, tidak pernah sesekali mematikan semangat kita untuk terus berseronok mengayuh walau luka tercalar di sana sini. Kita berasa puas tentang kejayaan kita mengayuh, lantas terlupa untuk berfikir tentang kesakitan calar itu. Belajar untuk mengayuh basikal bukan merupakan bebanan kepada kita kerana keseronokan mengayuh pacuan dua roda itu menggamit naluri untuk bermain semahunya!

Memang benar, kita terlalu mentah untuk memahami erti hidup yang sebenar dan semestinya bebanan hidup seorang kanak-kanak tidak layak dan tidak setimpal dibandingkan dengan bebanan seorang dewasa. Tetapi cuba buka fikiran anda, dan ketepikan soal perbezaan tanggungjawab dan bebanan itu. Lihatlah kanak-kanak itu, mereka seolah-olah terlupa untuk berfikir tentang ‘kepayahan’ persekolahan esok hari, terlalu asyik bermain kejar-kejar bersama kawan sejiranan. Mereka seolah-olah tidak sesekali memberi ruang di dalam minda dan waktu meraka untuk bersusah hati berfikir tentang apa-apa kepayahan yang dihadapi oleh mereka.

Apakah sebenarnya yang menjadi daya penggerak kepada keseronokan mereka itu? Mungkinkah kerana tidak pernah terlintasnya di fikiran mereka perkataan ‘konflik’, atau ‘krisis’. Terlalu bombastik buat mereka perkataan-perkataan yang membawa maksud yang tidak enak difahami ini. Lantas, mereka tidak pernah kenal erti kesusahan kerana apa yang penting bagi mereka adalah keseronokan dan berasa gembira untuk bermain, tidak kiralah berapa kali mereka terjatuh ketika memanjat pokok jambu, atau tergelincir ketika bermain kejar-kejar.

Belajarlah daripada insan-insan kecil ini dalam berhadapan dengan cabaran dan krisis. Walau memang tidak boleh dibezakan beban kehidupan dan tanggungjawab antara kita sebagai orang dewasa dengan anak-anak kecil tersebut, tetapi, cerminkanlah tentang ‘kemahiran’ mereka memfokuskan perasaan mereka untuk gembira sehingga segala kepayahan dan cabaran yang mereka lalui tidak dirisaukan dan pastinya tidak menjadi satu fokus dalam minda mereka.

Ingat, kita dahulu pernah sekali melalui zaman itu, dan sebenarnya ‘kemahiran’ bergembira dalam menangani cabaran dan krisis hidup ini telah lama kita garap dulu. ‘Kemahiran’ ini memang sudah dianugerahkan Tuhan kepada kita, Cuma mungkin kita perlu ‘activate’kan kembali ’tenaga dalaman’ yang telah lama kita tinggalkan itu.

SYURGA VS NERAKA : Motivasi terhebat mukmin sejati

Bukan mudah untuk masuk syurga, terlalu banyak halangan dan rintangannya yang terpaksa kita tempuh yang bakal membuatkan kemanisan nikmat syurga itu akan diteguk dengan penuh penghargaan dan kesyukuran setelah penat lelah hidup mati bertarung dengan syaitan dan nafsu ketika di dunia. Namun, tidak pernah pula ditunjukinya kita rupa sebenar syurga dan neraka Allah itu.

Semua manusia secara normalnya mahukan ganjaran pada apa-apa yang dilakukan. Balasan dan imbuhan inilah yang mendorong manusia berbuat apa sahaja. Sebagai contoh, kita bekerja seharian untuk mencari rezeki yang berupa upah atau gaji bulanan. Kita makan dan minum untuk mengisi perut dan melepaskan kenyang dan dahaga. Kita berniaga untuk mencari untung. Tidak ada orang yang berniaga untuk rugi! Malahan kita menyayangi untuk disayangi dan menghormati untuk dihormati. Sedar atau tidak,segala pekerjaan dan amalan seharian kita adalah berpaksikan kepada timbal balas yang menguntungkan kita, sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Semua keuntungan yang kita bayangkan dan harap-harapkan inilah yang memberi semangat dan kekuatan kepada kita untuk bangun seawal pagi dan keluar mencari rezeki misalnya.

Sesungguhnya kewujudan syurga dan neraka adalah motivasi yang paling berkesan bagi Mukmin kerana Allah Maha Mengetahui bahawa fitrah manusia adalah sentiasa menginginkan sesuatu sebagai balasan atau keuntungan daripada perbuatan dan perlakuannya. Tetapi, hanya mukmin yang benar-benar percaya kepada kewujudan syurga dan neraka sahaja yang tidak canggung untuk sentiasa memikirkan motivasi agung ini hatta ketika sedang menekan bebutang ‘keyboard’, membuat tugasan di pejabat. Ini adalah mereka sedar bahawa di sebalik tutur kata, budi bicara dan segala amanah yang dilakukan, sentiasa dirakam dan dicatat untuk dimarkahi sama ada dengan pahala atau dosa. Ini adalah bersamaan dengan konsep Ihsan, iaitu sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah setiap masa dan ketika. Perasaan ‘sentiasa berasa diperhati’ dan keinginan untuk syurga Allah akan menjadikan kita amat berhati-hati untuk tidak melakukan kesilapan dan sentiasa berlumba-lumba untuk menambahkan pahala selagi hayat dikandung badan.

Memang sukar untuk dikupas keseronokan di syurga atau penderitaan azab kubur itu kerana tiada orang yang telah mati bisa bangun berucap mengenai keseronokan di taman syurga di alam barzakh itu. Maka, tiada ‘bukti’ nyata yang boleh disaksikan oleh semua hamba Allah. Namun, bagi orang yang mengimani Allah dan Rasulnya dan menghayati ajaran Al Quran dan Hadith, dua tinggalan Rasulullah ini menjadi bukti agung keindahan syurga dan keperitan azab neraka. Maka, cukuplah Al-Quran dan hadith-hadith nabi sebagai pendorong mereka untuk beramal bakti sebagai pemangkin jalan ke syurga serta sedaya upaya menghindarkan perkara-perkara yang membawa kita ke neraka.

Mungkin agak sukar bagi orang-orang kebanyakan yang tidak ambil peduli untuk menghayati kewujudan syurga dan neraka dan memotivasikan diri daripada kewujudan ini. Namun memang terkesan bagi mereka yang sentiasa mengharap redha Allah, dan yang sentiasa merasa diawasi oleh ‘supervisor’ yang ‘diupah’ khas oleh Allah, iaitu Raqib dan Atib.

Maka, jika kita tergolong dalam golongan yang bersikap acuh tidak acuh yang secara sedar atau tidak, berpendapat bahawa syurga dan neraka ‘hanya untuk orang mati’, maka seharusnya kita sedar bahawa, kita semua adalah calon si mati dan bakal menghuni liang lahad yang berupa taman syurga atau lubuk sengsara. Mereka yang sudah mati telah pun ditentukan balasan syurga atau neraka. Kita pula, bagaimana?

Sekeping lidah untuk berbicara

Manusia telah dianugerahkan Tuhan sekeping lidah yang tidak bertulang dan amat mudah untuk digerakkan. Ia adalah antara pancaindera yang menjadi kemudahan kepada kita untuk merasa dan tentunya untuk berkata-kata. Suara dikeluarkan dari tekak, namun kita perlukan lidah sebagai wadah untuk membaitkan butiran perkataan selain bibir atas dan bawah yang digerakkan. Semua ini amat mudah untuk dilakukan oleh kerana tidak bertulangnya lidah dan bibir.

Sememangnya tanpa berbicara tiadalah ertinya menjadi manusia,bukan? Percakapan adalah asas untuk berinteraksi dan berkomunikasi. Bersyukur rasanya bagi kita yang dilahirkan tidak bisu. Namun saya terpanggil untuk membuat koreksi diri mengenai apakah sebenarnya yang amat gemar diperkatakan manusia secara umumnya dan tentunya saya sendiri secara khususnya.

Ah! Kalau boleh dirakam butiran percakapan saya dalam satu bulan dan diklasifikasikan subjek apa yang paling kerap saya cakapkan, apalah agaknya topik hangat yang lidah saya selalu putarkan? Sesungguhnya saya sendiri panik, malu dan amat takut untuk mengetahui hakikat itu kerana saya yakin lisan saya sebagai insan yang banyak kelemahan dan cacat cela ini sudah tentu tidak dapat lari daripada tersalah kata.

Namun, ‘kamera Tuhan’ sentiasa diputarkan 24 jam sehari dan tiada henti selama mana kita semua masih bernyawa.

Dan jika diberi pilihan, sayalah antara manusia yang memang amat keberatan untuk diulang tayangkan ’rakaman percakapan’ selama mana hayat ini dikandung badan. Ya Tuhan! Bantulah kami memelihara sekeping anggota badan ini.



PENAFIAN / DISCLAIMER

1. Umum :

1.1 Setiap penulisan lanterahidup merupakan hakcipta lanterahidup. Penyebaran/perkongsian pada mana-mana artikel/penulisan oleh lanterahidup dibenarkan DENGAN SYARAT diletakkan rujukan daripada lanterahidup.blogspot.com

1.2 Penulisan lanterahidup di blog ini merupakan pendapat peribadi penulis sendiri berdasarkan pemikiran /pembelajaran / pendidikan / kesedaran / pengalaman / pendedahan / pembacaan / perkongsian penulis dengan mana-mana sumber yang berkaitan
dan berpatutan.

1.3 Sebarang kesilapan ejaan / fakta / informasi amatlah dikesali dan teguran daripada pembaca amatlah dialu-alukan. Penulis merupakan seorang manusia biasa yang mempunyai kelebihan dan kelemahan dan memegang prinsip 'tiada kesempurnaan kecuali Tuhan'. Maka penulis dan semua pembaca tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh kerana itu setiap daripada kita haruslah tegur-menegur sesama sendiri dengan berhikmah. (Penulis sendiri masih bertungkus lumus memperbaiki kualiti penulisan serta peribadi penulis)

1.4 Bagi sebarang nasihat yang memerlukan rujukan pakar dalam bidang/subjek berkaitan, pembaca dinasihatkan untuk merujuk kepada pakar/konsultan yang sah untuk bidang/subjek berkaitan. Penulis lanterahidup tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kesilapan hasil daripada kegagalan pembaca membuat rujukan yang sah.

4. Etika menulis komen :

4.1 Sebarang komen / maklumbalas/ kritikan membina / teguran membina / adalah dialu-
alukan dengan syarat penulis komen hendaklah menggunakan bahasa yang sopan dan beretika. Penulis amat menghormati keberanian dan ketulusan penulis komen dalam teguran yang diberi.

4.1 Komen-komen daripada penulis komen merupakan hak dan tanggungjawab penulis komen
tersebut dan tidak sesekali menggambarkan prinsip dan pendirian lanterahidup. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditulis.

5. Kekerapan penambahan artikel terbaru lanterahidup:

5.1 Penulisan lanterahidup di laman blog ini merupakan aktiviti sambilan penulis. Oleh itu, kemaafan dipohon ke atas kelewatan terhadap sebarang maklumbalas / respon kepada mana-mana komen / pertanyaan terhadap blog ini.

6. Bagaimana menghubungi lanterahidup?
Penulis lanterahidup boleh dihubungi di beezeewhiz@gmail.com

SELAMAT MEMBACA DAN BERKONGSI BICARA!