Wednesday, January 27, 2010

SAHABAT SEJATI?

Sahabat sejati?

Saya masih mencari-cari, hingga kini. Di dalam fasa pengemudian hidup secara multi-tasking ini iaitu dengan memikul tanggungjawab sebagai segala-galanya, saya masih tidak henti-henti mencari dan mencari.

Jika di zaman persekolahan lebih-lebih lagi zaman di menara gading dahulu, memang saya akui di situlah zaman yang paling saya nikmati di dalam mempunyai sahabat sejati yang menyayangi saya dengan ikhlas dan jujur. Sahabat-sahabat sejati ini menerima saya seadanya. Sahabat-sahabat sejati ini sanggup bersahabat dengan saya walaupun seribu satu kelemahan yang ada pada diri ini. Diterima seadanya baik buruk diri saya. Ditelan segala rasa hati yang mungkin terguris disebabkan sikap (negatif) saya. ‘Dijulang’ dan disebut perkara baik-baik tentang saya. Bukan memuji yang memabukkan diri, tetapi ‘memuji’ lebih kepada menghargai diri kita. Merekalah yang menjadi teman ketawa, teman air mata dan teman untuk menadah telinga mendengar celoteh saya. Merekalah jua yang tidak kenal erti jemu ‘menarik tangan saya semula’ jika saya ‘jatuh tersadung. Di waktu saya kesusahan, sahabat-sahabat sejati inilah yang membelikan sepinggan nasi dan segelas air. Di waktu saya sakit dan tidak dapat bergerak dari katil, merekalah yang datang menyumbang picit dan urutan yang amat memberikan kekuatan dan galakan untuk saya cepat sembuh. Di waktu saya ‘dibuli’, merekalah yang akan datang menjadi ‘perwira’ saya.

Memang zaman itulah zaman ‘gemilang’ persahabatan saya.

Kini, masa telah merubah segala-galanya.

Saya dan mereka masing-masing telah membawa haluan hidup masing-masing dalam mengemudi hidup orang dewasa. Berkahwin, beranak pinak dan bekerja telah menjarakkan hubungan kami. Tetapi jarak fizikal tidak menjarakkan hati saya terhadap mereka. Sesungguhnya mereka ini sangat dekat di hati saya. Walau jarang dihubungi dan menghubungi, tetapi pengalaman saya bersahabat dengan mereka tidak lekang dari ingatan saya. Selalu saya sebut-sebut kisah manis bersama mereka di dalam bicara saya.

Tips segera saya untuk mengenalpasti sahabat sejati (di antara ribuan kawan dan orang-orang yang mengaku sahabat) adalah --> siapakah yang paling anda ingat jika anda dilanda kesusahan atau ketika anda berbuat silap atau ketika anda di dalam ‘kejatuhan’? Anda rasa seolah-olah ingin saja anda bertemu insan itu di waktu anda ditimpa susah kerana anda yakin insan itu tidak akan menolak anda dan anda pasti dia akan menerima anda dan memberi anda kata-kata perangsang dan semangat. Itulah kriteria paling mudah untuk saya ‘labelkan’ seorang sahabat (dibandingkan dengan seorang kawan) Mengapa saya katakan demikian? Kerana pengalaman mengajar kita semua (dan manusia-manusia sebelum kita) bahawa “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar ditemui”.

Dan yang paling payah hendak dicari adalah sahabat yang masih mahu mengaku sahabat jika saya atau anda melakukan kesalahan atau kesilapan yang hebat. Ramai yang lari, tidak kurang juga yang mengelak diri, lebih ramai lagi yang mengeji di belakang hatta mereka yang pada dasarnya kita anggap ‘sahabat’. Ini memang bukan sahabat, malahan musuh dalam selimut! Cukuplah sekadar berdoa agar orang-orang seperti ini diampunkan Tuhan dan diberi hidayahNya. Jangan lupa juga berdoa agar kita tidak termasuk dalam golongan ‘sahabat-musuh dalam selimut’ ini.

Sahabat sejati akan senantiasa berkata benar kepada kita berkenaan diri kita secara berhikmah. Kelebihan kita sentiasa dihormati, kekurangan dan kesilapan kita akan sentiasa diperingat dan dinasihati tetapi bukan diumpati! Bukanlah bermakna menjadi sahabat sejati perlu sentiasa memuji, bukan! Tetapi selalu menggembirakan hati kita dengan kebenaran dan mengingatkan kita tentang kealpaan. Bukan pula ‘terjun longkang sekali kita’ dan tentunya bukan yang ‘bawa kita terjun longkang sekali’.

Di dalam melaksanakan seribu satu macam tanggungjawab , saya (dan para sahabat pembaca semua) sepatutnya dipacu dengan akal fikiran serta tidak lupa mengawal segunung emosi yang sentiasa mendatang dan pergi dalam lubuk hati terutamanya hati seorang wanita. (Tentunya yang menjadi penyelamat adalah Iman).

Cubalah bayangkan:
- Di dalam hidup berkeluarga kita adalah seorang isteri kepada suaminya, seorang ibu kepada anak-anaknya, (masih lagi) seorang anak kepada ibu bapanya, seorang menantu kepada mertuanya, seorang ipar kepada ipar-duainya, seorang kakak kepada adik-adiknya,
- Di dalam hidup bekerjaya pula kita adalah seorang pekerja kepada pejabatnya, seorang pegawai bawahan kepada majikannya, seorang penyelia kepada pegawai seliaannya

Di antara pelbagai tanggungjawab yang terbeban di bahu kita itu, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai konflik dan dilema yang kadang-kadang menguji kita dan sememangnya kita tidak dapat melakukan semuanya secara tip-top. Kita bukan robot!

Pergolakan dan peperangan antara emosi dan rasional di dalam hati wanita (dan semua yang bernama manusia) inilah yang kebiasaanya menguji pergaulan seharian terutama di dalam persahabatan. Di dalam majalah Anis Februari 2010 ada menyebut emosi wanita umpawa air yang amat lemah sifatnya yang mudah berubah bentuk mengikut bekas atau acuan yang apabila dibezakan dengan kekuatan hati lelaki seumpama seketul batu yang amat teguh walau diletakkan di bekas manapun. Sifat ‘lembik’ dan ‘lembut’ emosi ini jualah yang menjadi punca mengapa kaum hawa lebih mudah untuk berasa hati atau terhentak hati dengan sekecil-kecil isu sekalipun. Terasa itu, terasa ini, sakit hati begini, sakit hati begitu, sedih kerana ini, sedih kerana itu dan dek kerana inilah agaknya memang hati wanita tidak ‘sekuat’ lelaki apabila menghadapi sikap-sikap dan tindak-tanduk insan-insan di sekelilling walau siapa saja ; suami, anak-anak, ahli keluarga, ipar-duai, kawan sepejabat, bos, jiran, orang lalu lalang dan sebagainya, dan inilah ujian yang selalu ditimpa oleh sahabat-sahabat sejati. Iaitu untuk menjadi sahabat ketika diri sendiri dibuai perasaan, untuk menjadi sahabat ketika sahabat terbuai perasaan dan ‘memangsakan’ kita pula.

Yang paling utama, sahabat sejati adalah mereka yang memasukkan kita di dalam hati mereka dan di dalam doa mereka. Yang mudah memaafkan kesalahan kita dan mudah meminta maaf. Yang menyembunyikan kekurangan diri kita. Yang membela kita. Yang tidak sesekali akan menghentam kita jika kita tersilap malahan menutup-nutup dan menasihati seterusnya ‘menarik tangan kita’. Wah! Banyak bukan kriteria menjadi sahabat sejati. Jangan pula kita sahaja yang kepinginkan sahabat sejati sebelum kita mula sendiri menjadi seorang sahabat sejati.

Kepada sahabat-sahabat wanita saya yang sama-sama belajar di AED, UIA pada tahun 1997-2002, ketahuilah, kalianlah antara sahabat sejati saya yang sukar dicari ganti. Juga kepada sahabat-sahabat yang bertamu di alam maya yang hadir hanya seketika, namun komunikasi secara bertulis anda amat ‘memegang’ hati saya. Saya sayang kalian dan kecintaan itu biarlah diabadikan selamanya dalam hati saya (walau tanpa khabar berita).

Kepada teman-teman sekeliling yang pernah 'dimangsakan' saya secara yang saya sedari atau tidak sedari, sejuta maaf saya pohonkan. Tegurilah saya atas apa-apa kekhilafan dengan ikhlas. Semoga keikhlasan kalian yang bernama sahabat ini akan dapat membantu saya (dan kita) mencari redha Allah. Sama-samalah kita maaf-memaafi antara satu sama lain, kerana kita tidak pernah tidak melakukan salah silap antara satu sama lain.

Sesungguhnya, cinta sejati hanyalah pada Allah. Dialah Tuhan yang tidak akan pernah ‘lari’ dari hambaNya yang mendekatiNya dalam apa jua masalah, salah silap yang kita lakukan. Dan sahabat sejati adalah sahabat yang sentiasa 'mendekatkan' kita dengan Allah.

Wallahu a'lam.

REDHA KUNCI KEBAHAGIAN HIDUP DAN KETENANGAN JIWA

Pejabat atau tempat kerja merupakan rumah kedua bagi mereka yang berkerjaya. Tidak kiralah kerja apa pun sama ada kerja di sektor awam atau di sektor swasta, semuanya menuntut kita meluangkan masa sekurang-kurangnya 9 jam di tempat kerja termasuk waktu makan tengahari Itu belum pun termasuk masa perjalanan ke tempat kerja dan pulang ke rumah. 24 jam sehari, sekurang-kurangnya 10jam di luar rumah (dalam jangkaan masa 30 minit tempoh perjalanan pergi dan 30 minit tempoh perjalanan balik.

Bagi saya yang travel Seremban – KL tiap-tiap hari, kebiasannya memakan masa hampir 14 jam di luar rumah! Memang jika difikirkan boleh mengundang stress! Bayangkanlah meninggalkan rumah, anak kecil dan bayi saya seawal 6 pagi yang masih gelap dan kembali dari rumah pun sudah gelap. Selepas waktu kerja saya hanya ada kira-kira 2 hingga 2 setengah jam untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan suami sebelum masuk tidur pada pukul 10.30 malam kerana esok saya perlu bangun tidur awal! Selalulah dibiarkan rumah tidak berjaga, kerana mana sempat untuk mengemas itu-ini kerana saya tidak sanggup mengorbankan masa dengan anak-anak demi menjaga kekemasan rumah yang esoknya pun akan ditinggalkan juga untuk 14 jam selanjutnya! Saya hanya berdoa agar tidak ada ‘tetamu yang tidak diundang’ datang pada lewat malam hari bekerja. (Memang bunyinya macam ‘ kedekut’ dan ‘berkira’ masa. Tidak kisahlah apa orang kata)

Jika mula-mula dahulu pada pertengahan 2007 ketika awal-awal saya berpindah ke Seremban, acapkali saya stress dan saya rasa sudah sampai ke tahap ‘depressed’ ! Saya tidak nafikan bahwa keadaan jiwa saya yang amat-amat stress ketika itu adalah kerana saya tidak betul-betul redha dengan keadaan hidup saya yang memang memenatkan dengan jarak tempat kerja dan rumah saya yang agak jauh. Ditambah pula dengan suami juga yang terpaksa berulang alik Seremban – Melaka. Makanya dua-dua kami suami isteri kepenatan dan rumah tidak berkemas dengan sempurna. Anak sulung saya ketika itu yang amat-amat aktif selalu menjadi mangsa kemarahan saya kerana saya amat penat apabila tibanya ke rumah (Kasihan sungguh Nawwar. :( )

Selalu sampat lambat ke tempat kerja. Ditambah pula dengan keadaan sakit tulang belakang saya yang semakin teruk ketika mengandung anak kedua. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya yang selalu rasa bersalah dan sangkaan buruk saya terhadap pandangan orang dan sebagainya. Tidak saya nafikan memang terdengar-dengar sipi-sipi di telinga saya kata-kata menyindir seolah-olah diri ini terlalu memanjakan diri dengan sakit-sakit orang mengandung. Pandangan-pandangan sinis juga menyumbang ke arah stres dan bila jiwa stres badan pun mudah ditimpa sakit, bukan? (Mungkin hanya perasaan saya yang super-sensitif sehingga menjadikan saya over-conscious kepada pandangan orang)

Ketika jiwa saya stres dan badan saya sakit, keluarga sendirilah tempat saya bergantung dan tentunya mak dan abah sendirilah yang menjadi insan yang paling memahami selain daripada suami. Tiada orang lain yang dapat mendalami diri saya ketika itu kecuali keluarga terdekat yang memang melihat dengan mata kepada sendiri bagaimana payahnya pergerakan saya ketika diserang sakit belakang. Untuk bangun dari katil terpaksa ditarik tangan oleh suami. Saya menapak dan melangkah perlahan-lahan setapak demi setapak ke bilik air. Terkena saja air dingin di waktu pagi tambah menyakitkan saraf-saraf saya di betis, peha, pinggang dan belakang. Ditambah dengan betapa risaunya saya dengan perjalanan saya untuk ke stesen bas, beratur panjang untuk menaiki bas ekspres. Hendak melangkah naik ke atas bas pun, rasa sakit pinggang. Bantal untuk saya alas belakang di seat bas menjadi peneman ketika saya di pengakhiran mengandung tempohari. Turun dari bas pun payah. Terpaksa pula menahan teksi dari tempat turun bas ke pejabat. Aduh! Duit keluar laju macam air! Hati saya tisak keruan melihat jam, kerana kebiasaannya saya akan sampai lambat ke tempat kerja.

Kadang-kadang diwaktu itu saya rasakan bahawa orang-orang yang hanya mendengar pengaduan saya tentang sakit saya memandang serong terhadap cerita2 saya. Mungkin saya dilihat seperti suka membesar-besarkan cerita kacil untuk menagih simpati (Ah! Sekali lagi saya berperasaan sangka buruk begini! Ketika badan sakit, jiwap un mudah terusik dan saya terusan menjadi super sensitif)

Sebenarnya, hanya ’Seorang’ saja yang PALING memahami kita iaitu ALLAH TUHAN YANG MAHA MEMAHAMI DAN MAHA MENDENGAR.

Sekarang? Alah bisa tegar biasa. Alhamdulillah setelah hampir 3 tahun tinggal di Seremban, saya sudah menjadi biasa dengan keadaan hidup yang terkejar-kejar.
Dan kami telah dianugerahkan anak kedua bayi lelaki yang hampir berumur 7 bulan (ketika artikel ini ditulis) Sakit belakang saya masih ada, Cuma tidak sesakit ketika berbadan dua. Punch card saya masih ‘tercemar’ dengan warna merah, tetapi tidak banyak. (tidak sedasyat ketika mengandung!)

Suami seringkali menasihat agar jangan sesekali mengejar kesempurnaan di dalam semua aspek kerana kita akan end up kecewa. Kita juga tidak perlu bimbang dengan ’apa orang kata’. Kita sahaja yang lebih arif dan pakar tentang situasi hidup kita. Orang lain hanya boleh berkata dan bercakap itu ini tetapi yang mengharungi hidup kita adalah diri kita sendiri. Kita tidak sesekali boleh membeza-bezakan situasi dan masalah kita dengan orang lain. Jika untuk kebaikan seperti untuk menaikkan semangat, memanglah kita disarankan meniru atau mencontohi kejayaan orang yang telah berjaya. Tetapi kita tidak semestinya boleh mengaplikasikan teknik ’mencontohi’ itu dalam semua perkara di dalam hidup seharian. Kita juga perlu mengukur baju di badan sendiri dan mengenalpasti kebolehan dan kekurangan dalam hidup dan dalam diri sendiri. Apa yang penting dalam menjalani kehidupan kitaseharian adalah ketenangan dan kepuasan. Jika rumah berkemas, tetapi tidak cukup rehat dan tidak cukup tidur pun, apa gunanya, jika esok harinya pergi kerja mengantuk dan penat serta tidak tenang? Fikir-fikirkanlah.


Memang kita tidak dapat lari dari pandangan skeptikal segelintir orang yang merasa ’mereka boleh buat semua perkara’. Kita juga tidak dapat lari dari mendengar nasihat yang terlampau dari sesetengah orang yang merasakan ’mereka tahu dan pakar semua perkara’. Dengar sajalah nasihat mereka. Yang mana elok terima, yang kita rasa tidak tercapai tangan untuk kita terima, kita senyum sajalah. Tidak payah terlalu defensif, penat mulut nak berlawan kata. Senyum, senyum dan senyum. Lagipun mereka menasihat kerana ambil berat tentang kita. Cuma saya faham, memang penat mendengar celoteh orang sebegitu. Tidak mengapa, bukan kena bayarpun mendengar nasihat percuma, bukan?

Tuesday, January 26, 2010

BIKIN SENDIRI SAJALAH....

Sesungguhnya memang tercabar rasa jiwa ini.

Sudah beberapa kali mahu diperbetulkan atau diperingatkan? Mengulangi kesilapan yang sama umpama tidak belajar dari kesilapan lalu dan kadang-kadang pengulangan kesilapan ini mengjengkelkan orang sekeliling. (dan yang aniayanya ialah ianya nampak seperti salah kita seorang sahaja)

Hendak ditegur-tegur selalu, takut-takut dilihat sebagai bossy dan fussy.
Bukan mengawal kanak-kanak kecil yang memang lumrah semulajadi harus ditegur-tegur selalu dan mereka memang amat-amat mendambakan teguran dan nasihat yang tidak henti-henti dalam mencorakkan keperibadian yang murni.

Ini kes ‘pengawalan’ orang dewasa berpangkat bapa orang! Takkanlah hendak dipantau setiap masa cara-kerja mereka. Sudahlah begitu, agaknya memang menjadi ‘fitrah mereka’ hasil kerja yang dipersembahkan tidak sehalus dan sekemas seperti yang dijangkakan kita. Seperti melepaskan batuk di tangga sahaja produk kerjanya dan selalu dikomen itu ini oleh tuan ketua yang menyangka kerja kita. Tidak profesionallah pula kita jika memberi sebab bahawa itu bukan kerja kita seorang saja, tetapi angkara orang lain.

Pernah disuarakan agar diperbetulkan di sini di ubah di sana, sudahnya ditempelaknya pula kita dengan satu label bahawa kita ini memang amat cerewet! Dikatakan kita terlalu mengutamakan trivial matters (hal remeh temeh) sampai melupakan objektif kerja. Tetapi padahnya memang seperti yang ditakuti (dijangkakan) kita, hasil kerja orang itu memang ada kesilapan yang tidak dapat disorok dari pengetahuan tuan ketua. Malu besarlah kita dimarahi dengan butiran kata yang mengatakan kita tidak pandai memantau pegawai seliaan. Hendak-hendak kesalahan yang ketara itu adalah kesilapan yang nampak amat ‘bodoh’. Oh tidak! Mana mahu letak muka.

Bagaimana lagi harus dilakukan? Sabar sahajalah yang dapat menjadi pendamping diri ketika ini. Sabar sahaja tanpa tindakan pembaikan susulan pun tiada juga gunanya.
Apa pula tindakan pembaikan susulan? Hendak ‘diluruskan buluh yang memang sudah bengkok’? Mana mungkin! Biarlah mereka dengan bengkok mereka, asalkan tidak mencucuk kita. Bukan tidak dicuba untuk diluruskan, tetapi sifat ego yang berpaksi meliatkan usaha murni kita.

Lantas, apa bikin kita?
Bikin sendiri sajalah kerja dan usaha, jangan diharap pada buluh bengkok kerana hendak dibuat lembing pun, nanti tersalah sasarnya, takut senjata makan tuan!
Janganlah diharap pada yang tidak boleh diharap.
Harapkan diri sendiri sahajalah nampaknya.


Aduhai..Nasib badan..