Monday, February 22, 2010

KEBURUKAN ORANG LAIN : Bukti ketidaksempurnaan diri kita

Rutin harian di dalam kehidupan saban hari tidak sah daripada keperluan untuk kita berinteraksi dengan orang lain. Sama ada di rumah bersama keluarga, di kawasan kediaman bersama jiran tetangga, di pejabat bersama teman sepasukan, di dalam lif bersama orang yang kita berselisih misalnya, sememangnya kita tidak lepas dari mempunyai ’contact’ dengan orang lain. Sama ada bertentang mata, bersua muka, berbual bicara, bertanya dan sebagainya, segalanya melibatkan kita bertinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain selain diri kita.

Sebagai manusia biasa sudah menjadi lumrah bagi kita untuk tidak dapat lari daripada membuat tanggapan, memberi persepsi, bersikap kritikal dan kerap juga kita bersikap ’menghukum’ (judgemental) dengan sesiapapun yang berinteraksi dengan kita. Begitu mudah & cepat kita melompat kepada satu kesimpulan pada orang lain bahawa dengan berkata ’begitu’, si fulan itu sememangnya ’begitu’, dengan memek wajah ’begitu’ memanglah si dia itu ’begitu’, dengan bertindak ’begitu’ tidak syak lagi bahawa beliau adalah ’begitu’ dan sampai bila-bilalah bagi kita ’si fulan’, ’si dia’ atau ’beliau’ kita anggap ’begitu’. Begitulah cepat dan senang kita membuat impresi terhadap orang lain.

Tidak pernahkah kita terfikir bahawa kita juga adalah ’si dia’, ’si fulan’ atau ’beliau’ bagi orang lain di sekeliling. Tidak pernah terfikirkah kita tentang kata-kata kita, memek wajah kita, tindakan kita ketika berinteraksi dengan orang lain sama ada kita sengajakan atau tidak kita sengaja atau tanpa kita sedari? Bagaimana pula orang mentafsir peradaban kita?

Sebagai contoh, berapa kalikah kita terlepas pandang dan tidak sedar bahawa kita berselisih bahu dengan orang yang kita kenal tanpa kita hulurkan senyuman oleh kerana kita tidak perasan akan kehadiran mereka? Kita mudah memaafkan diri kita sendiri dan memberi alasan untuk tidak kita rasa bersalah atas ketidaksengajaan sebegitu, maklumlah kita bukannya sedar pun kehadiran mereka. Namun, mudah benar kita mengatakan bahawa ’si dia’ itu sombong dek kerana tidak menegur kita walhal kita sudahpun melemparkan senyumah padanya.
Entahkan memang ’si dia’ betul-betul perasan kehadiran kita atau mungkinkah ’si dia’ sedang ’absent-minded’ dek kerana masalah besar yang sedang ditanggungnya, manalah tahu baru diuji dengan kematian orang tersayang dan sebagainya.

Berapa kerapkah kita meninggikan suara pada anak-anak atau pasangan yang mana kemudiannya kita menyesal melakukan pantas pula kita sekali lagi memaafkan diri dengan alasan bahawa pasangan dan anak-anak kita adalah orang yang paling rapat dengan kita dan air yang dicincang tidak akan putus lantas kita mudah melupakan kekasaran bahasa kita itu? Lagipun bagi kita memang patut mereka ditegur secara 'kasar bahasa'!
Terbayangkan kita betapa terhiris dan tergurisnya jiwa dan hati mereka dengan kata-kata kita. Mereka mungkin diam tidak berlawan kata namun, dalam hati, siapa tahu. Kita pantas buat-buat lupa dengan kesilapan mulut&lidah kita dengan pasangan, ahli keluarga atau anak-anak,bukan? Namun, mudah benar hati kita remuk rendam dengan kekasaran bahasa pasangan atau teman-teman kita.

Mengapalah cepat dan mudah benar kita terlihat, terperasan, ternampak dan terfikir (malahan bebih teruk menghebahkan) kesalahan dan kesilapan orang lain, kesilapan orang lain itu merupakan isu hangat bagi kita. Walhal diri kita sendiri tidak sempurna mana pun, betul dan beanr semuakah perlakuan, adab, kesopanan dan perangai kita ini?

Sejak kita mula menjadi mumayyiz telah kenal salah silap, sikit benarkah salah kita pada orang, pada ibu bapa, pada adik beradik, jiran tentangga, rakan sepengajian, rakan sepejabat, suami/ isteri, anak-anak, dan senarai orang yang pernah kita terbuat silap tidak pernah terhenti. Itu adalah kesilapan yang boleh akal kita tercapai untuk menginsafi diri. Bagaimana dengan salah silap kita yang kita tidak sedar atau yang kita memang langsung tidak berniat untuk melakukannnya namunt elah ’berjaya’ mengguris hati orang lain atau ’berjaya’ membuahkan dosa?

Sahabat-sahabat pembaca sekalian, maka benarlah, melihat kepada keburukan orang lain, mengingatkan kita kepada kekurangan dan ketidaksempurnaan diri sendiri kerana kita juga manusia, sama seperti mereka.

Sebenarnya, jika kita terlalu sibuk mencari, memikirkan salah dan silap diri sendiri (sama ada salah kita pada Allah, salah kita pada manusia ataupun salah kita pada alam sekitar) kita memang tidak punya masa, ruang dan peluang walau sesaatpun untuk memikirkan salah silap orang hatta salah orang pada kita.

Hakikatnya, jika saya, sahabat-sabahat pembaca sekalian terlalu sibuk mencari, melihat, memikir dan memperkatakan salah silap, cacat cela dan khilaf orang lain selain kita, memang kita menutup ruang dan peluang untuk kita memperbaiki, membaiki dan menambahbaik peribadi kita yang tidak seberapa ini kerana masa, tenaga, fikiran kita telah dibazirkan dengan memikirkan salah silap orang lain. Namun bukan pula bermakna kita mengamalkan sikap tidak peduli di dalam hidup bermasyarakat!

Maka wahai diri sendiri dan sahabat pembaca sekalian, marilah kita fikir-fikirkan.

Memikirkan khilaf (salah) diri bukanlah pula bermakna menggalakkan perasaan rendah diri atau rasa bersalah terlampau sehingga merendahkan harga diri (self-esteem) atau keyakinan diri kita di dalam masyarakat, tetapi objektif ’memikir-mikir silap diri’ adalah demi untuk memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan diri selama mana kita hidup di dunia ini demi mencari redha Allah serta meningkatkan kesejahteraan hidup kita di dalam berhadapan dengan manusia sekeliling. Namun begitu, parameter di dalam mengkoreksi dan bermuhasabah diri hendaklah menggunakan syariat Allah sebagai kayu pengukur bukan redha dan kesukaan manusia semata.

Ingatlah, jika kita mengutamakan redha Allah, maka Allah akan ’memenangi kita ke atas manusia’. Namun jika kita mengutamakan kesukaan manusia, maka kita hanya akan mendapat redha manusia semata.

Jika kita tersedar akan kesilapan, kesalahan dan ketidaksempurnaan kita dari segi perasaan seperti buruk sangka, kesilapan lidah, kesilapan perilaku serta adab kita, maka masih belum terlambat untuk kita memperbaiki diri dan berubah untuk menjadi lebih baik. Manusia yang paling bagus adalah manusia yang hari ini lebih baik daripada semalam dan yang paling banyak kebajikannya kepada manusia lain.

Marilah kita mohon maaf pada suami/ isteri/anak-anak/ teman2/rakan sekerja/jiran tetangga dll atas kekhilafan kata dan perlakuan kita. Dan mulalah dengan diri sendiri untuk memaafkan kesalahan orang lain pada kita, kerana kemaafan adalah dendam yang paling indah!

Wallahu a'lam

1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)