Tuesday, January 26, 2010

BIKIN SENDIRI SAJALAH....

Sesungguhnya memang tercabar rasa jiwa ini.

Sudah beberapa kali mahu diperbetulkan atau diperingatkan? Mengulangi kesilapan yang sama umpama tidak belajar dari kesilapan lalu dan kadang-kadang pengulangan kesilapan ini mengjengkelkan orang sekeliling. (dan yang aniayanya ialah ianya nampak seperti salah kita seorang sahaja)

Hendak ditegur-tegur selalu, takut-takut dilihat sebagai bossy dan fussy.
Bukan mengawal kanak-kanak kecil yang memang lumrah semulajadi harus ditegur-tegur selalu dan mereka memang amat-amat mendambakan teguran dan nasihat yang tidak henti-henti dalam mencorakkan keperibadian yang murni.

Ini kes ‘pengawalan’ orang dewasa berpangkat bapa orang! Takkanlah hendak dipantau setiap masa cara-kerja mereka. Sudahlah begitu, agaknya memang menjadi ‘fitrah mereka’ hasil kerja yang dipersembahkan tidak sehalus dan sekemas seperti yang dijangkakan kita. Seperti melepaskan batuk di tangga sahaja produk kerjanya dan selalu dikomen itu ini oleh tuan ketua yang menyangka kerja kita. Tidak profesionallah pula kita jika memberi sebab bahawa itu bukan kerja kita seorang saja, tetapi angkara orang lain.

Pernah disuarakan agar diperbetulkan di sini di ubah di sana, sudahnya ditempelaknya pula kita dengan satu label bahawa kita ini memang amat cerewet! Dikatakan kita terlalu mengutamakan trivial matters (hal remeh temeh) sampai melupakan objektif kerja. Tetapi padahnya memang seperti yang ditakuti (dijangkakan) kita, hasil kerja orang itu memang ada kesilapan yang tidak dapat disorok dari pengetahuan tuan ketua. Malu besarlah kita dimarahi dengan butiran kata yang mengatakan kita tidak pandai memantau pegawai seliaan. Hendak-hendak kesalahan yang ketara itu adalah kesilapan yang nampak amat ‘bodoh’. Oh tidak! Mana mahu letak muka.

Bagaimana lagi harus dilakukan? Sabar sahajalah yang dapat menjadi pendamping diri ketika ini. Sabar sahaja tanpa tindakan pembaikan susulan pun tiada juga gunanya.
Apa pula tindakan pembaikan susulan? Hendak ‘diluruskan buluh yang memang sudah bengkok’? Mana mungkin! Biarlah mereka dengan bengkok mereka, asalkan tidak mencucuk kita. Bukan tidak dicuba untuk diluruskan, tetapi sifat ego yang berpaksi meliatkan usaha murni kita.

Lantas, apa bikin kita?
Bikin sendiri sajalah kerja dan usaha, jangan diharap pada buluh bengkok kerana hendak dibuat lembing pun, nanti tersalah sasarnya, takut senjata makan tuan!
Janganlah diharap pada yang tidak boleh diharap.
Harapkan diri sendiri sahajalah nampaknya.


Aduhai..Nasib badan..

1 comment:

mohad said...

selamat tahun baru..