Thursday, November 15, 2007

Bergembira menangani masalah?

Kepandaian dalam berhadapan dalam krisis dan cabaran merupakan satu elemen penting dalam kehidupan seseorang kerana secara fitrahnya, tiada kehidupan yang tidak melalui krisis dan konflik.

Seawal dilahirkan lagi, seorang manusia itu berdepan dengan satu cabaran baru untuk membiasakan diri dengan alam dunia, yang nyata berbeza dengan alam rahim. Usah dikira kepayahan ketika waktu kelahiran, di mana kedua-dua bayi dan ibu berperang dengan maut dalam menjayakannya. Namun begitu, kita terlalu hingusan untuk memahami krisis seawal hidup tersebut.

Hari demi hari, semakin kita membesar, semakin kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam proses perkembangan diri kira daripada alam bayi ke alam kanak-kanak. Namun, sebagai kanak-kanak, dunia bagi kita adalah sebuah padang permainan besar yang menyediakan pelbagai perkara dan aktiviti untuk kita bersuka-ria dan bermain.

Sebenarnya pada ketika ini, tanpa kita sedari kita telah memupuk satu kemahiran diri dalam menghadapi cabaran hidup kita di waktu itu. Sebagai contoh, antara kemahuan yang meluap-luap untuk bermain bersama kawan dan kemestian untuk serius dalam belajar dengan ‘tekanan’ yang diberikan ibu bapa ke arah itu, sebenarnya merupakan satu konflik walau tidak sepayah mana kerana kita terpaksa mengorbankan kemahuan yang meluap itu semata-mata ingin memberikan ruang dan waktu untuk pembelajaran pula.

Namun begitu kita sentiasa membayangkan bahawa kita sentiasa mempunyai esok hari lagi untuk bermain dan bayangan keseronokan ini sentiasa menggembirakan kita, bukan? Kita begitu asyik berseronok bermain dan otak kita sentiasa terprogram mencari idea untuk bermain tidak kira di mana dan bila masa sahaja!

Kepayahan dalam belajar menunggang basikal misalnya, tidak pernah sesekali mematikan semangat kita untuk terus berseronok mengayuh walau luka tercalar di sana sini. Kita berasa puas tentang kejayaan kita mengayuh, lantas terlupa untuk berfikir tentang kesakitan calar itu. Belajar untuk mengayuh basikal bukan merupakan bebanan kepada kita kerana keseronokan mengayuh pacuan dua roda itu menggamit naluri untuk bermain semahunya!

Memang benar, kita terlalu mentah untuk memahami erti hidup yang sebenar dan semestinya bebanan hidup seorang kanak-kanak tidak layak dan tidak setimpal dibandingkan dengan bebanan seorang dewasa. Tetapi cuba buka fikiran anda, dan ketepikan soal perbezaan tanggungjawab dan bebanan itu. Lihatlah kanak-kanak itu, mereka seolah-olah terlupa untuk berfikir tentang ‘kepayahan’ persekolahan esok hari, terlalu asyik bermain kejar-kejar bersama kawan sejiranan. Mereka seolah-olah tidak sesekali memberi ruang di dalam minda dan waktu meraka untuk bersusah hati berfikir tentang apa-apa kepayahan yang dihadapi oleh mereka.

Apakah sebenarnya yang menjadi daya penggerak kepada keseronokan mereka itu? Mungkinkah kerana tidak pernah terlintasnya di fikiran mereka perkataan ‘konflik’, atau ‘krisis’. Terlalu bombastik buat mereka perkataan-perkataan yang membawa maksud yang tidak enak difahami ini. Lantas, mereka tidak pernah kenal erti kesusahan kerana apa yang penting bagi mereka adalah keseronokan dan berasa gembira untuk bermain, tidak kiralah berapa kali mereka terjatuh ketika memanjat pokok jambu, atau tergelincir ketika bermain kejar-kejar.

Belajarlah daripada insan-insan kecil ini dalam berhadapan dengan cabaran dan krisis. Walau memang tidak boleh dibezakan beban kehidupan dan tanggungjawab antara kita sebagai orang dewasa dengan anak-anak kecil tersebut, tetapi, cerminkanlah tentang ‘kemahiran’ mereka memfokuskan perasaan mereka untuk gembira sehingga segala kepayahan dan cabaran yang mereka lalui tidak dirisaukan dan pastinya tidak menjadi satu fokus dalam minda mereka.

Ingat, kita dahulu pernah sekali melalui zaman itu, dan sebenarnya ‘kemahiran’ bergembira dalam menangani cabaran dan krisis hidup ini telah lama kita garap dulu. ‘Kemahiran’ ini memang sudah dianugerahkan Tuhan kepada kita, Cuma mungkin kita perlu ‘activate’kan kembali ’tenaga dalaman’ yang telah lama kita tinggalkan itu.

No comments: