Thursday, November 15, 2007

Sekeping lidah untuk berbicara

Manusia telah dianugerahkan Tuhan sekeping lidah yang tidak bertulang dan amat mudah untuk digerakkan. Ia adalah antara pancaindera yang menjadi kemudahan kepada kita untuk merasa dan tentunya untuk berkata-kata. Suara dikeluarkan dari tekak, namun kita perlukan lidah sebagai wadah untuk membaitkan butiran perkataan selain bibir atas dan bawah yang digerakkan. Semua ini amat mudah untuk dilakukan oleh kerana tidak bertulangnya lidah dan bibir.

Sememangnya tanpa berbicara tiadalah ertinya menjadi manusia,bukan? Percakapan adalah asas untuk berinteraksi dan berkomunikasi. Bersyukur rasanya bagi kita yang dilahirkan tidak bisu. Namun saya terpanggil untuk membuat koreksi diri mengenai apakah sebenarnya yang amat gemar diperkatakan manusia secara umumnya dan tentunya saya sendiri secara khususnya.

Ah! Kalau boleh dirakam butiran percakapan saya dalam satu bulan dan diklasifikasikan subjek apa yang paling kerap saya cakapkan, apalah agaknya topik hangat yang lidah saya selalu putarkan? Sesungguhnya saya sendiri panik, malu dan amat takut untuk mengetahui hakikat itu kerana saya yakin lisan saya sebagai insan yang banyak kelemahan dan cacat cela ini sudah tentu tidak dapat lari daripada tersalah kata.

Namun, ‘kamera Tuhan’ sentiasa diputarkan 24 jam sehari dan tiada henti selama mana kita semua masih bernyawa.

Dan jika diberi pilihan, sayalah antara manusia yang memang amat keberatan untuk diulang tayangkan ’rakaman percakapan’ selama mana hayat ini dikandung badan. Ya Tuhan! Bantulah kami memelihara sekeping anggota badan ini.



No comments: