Thursday, November 15, 2007

SYURGA VS NERAKA : Motivasi terhebat mukmin sejati

Bukan mudah untuk masuk syurga, terlalu banyak halangan dan rintangannya yang terpaksa kita tempuh yang bakal membuatkan kemanisan nikmat syurga itu akan diteguk dengan penuh penghargaan dan kesyukuran setelah penat lelah hidup mati bertarung dengan syaitan dan nafsu ketika di dunia. Namun, tidak pernah pula ditunjukinya kita rupa sebenar syurga dan neraka Allah itu.

Semua manusia secara normalnya mahukan ganjaran pada apa-apa yang dilakukan. Balasan dan imbuhan inilah yang mendorong manusia berbuat apa sahaja. Sebagai contoh, kita bekerja seharian untuk mencari rezeki yang berupa upah atau gaji bulanan. Kita makan dan minum untuk mengisi perut dan melepaskan kenyang dan dahaga. Kita berniaga untuk mencari untung. Tidak ada orang yang berniaga untuk rugi! Malahan kita menyayangi untuk disayangi dan menghormati untuk dihormati. Sedar atau tidak,segala pekerjaan dan amalan seharian kita adalah berpaksikan kepada timbal balas yang menguntungkan kita, sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Semua keuntungan yang kita bayangkan dan harap-harapkan inilah yang memberi semangat dan kekuatan kepada kita untuk bangun seawal pagi dan keluar mencari rezeki misalnya.

Sesungguhnya kewujudan syurga dan neraka adalah motivasi yang paling berkesan bagi Mukmin kerana Allah Maha Mengetahui bahawa fitrah manusia adalah sentiasa menginginkan sesuatu sebagai balasan atau keuntungan daripada perbuatan dan perlakuannya. Tetapi, hanya mukmin yang benar-benar percaya kepada kewujudan syurga dan neraka sahaja yang tidak canggung untuk sentiasa memikirkan motivasi agung ini hatta ketika sedang menekan bebutang ‘keyboard’, membuat tugasan di pejabat. Ini adalah mereka sedar bahawa di sebalik tutur kata, budi bicara dan segala amanah yang dilakukan, sentiasa dirakam dan dicatat untuk dimarkahi sama ada dengan pahala atau dosa. Ini adalah bersamaan dengan konsep Ihsan, iaitu sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah setiap masa dan ketika. Perasaan ‘sentiasa berasa diperhati’ dan keinginan untuk syurga Allah akan menjadikan kita amat berhati-hati untuk tidak melakukan kesilapan dan sentiasa berlumba-lumba untuk menambahkan pahala selagi hayat dikandung badan.

Memang sukar untuk dikupas keseronokan di syurga atau penderitaan azab kubur itu kerana tiada orang yang telah mati bisa bangun berucap mengenai keseronokan di taman syurga di alam barzakh itu. Maka, tiada ‘bukti’ nyata yang boleh disaksikan oleh semua hamba Allah. Namun, bagi orang yang mengimani Allah dan Rasulnya dan menghayati ajaran Al Quran dan Hadith, dua tinggalan Rasulullah ini menjadi bukti agung keindahan syurga dan keperitan azab neraka. Maka, cukuplah Al-Quran dan hadith-hadith nabi sebagai pendorong mereka untuk beramal bakti sebagai pemangkin jalan ke syurga serta sedaya upaya menghindarkan perkara-perkara yang membawa kita ke neraka.

Mungkin agak sukar bagi orang-orang kebanyakan yang tidak ambil peduli untuk menghayati kewujudan syurga dan neraka dan memotivasikan diri daripada kewujudan ini. Namun memang terkesan bagi mereka yang sentiasa mengharap redha Allah, dan yang sentiasa merasa diawasi oleh ‘supervisor’ yang ‘diupah’ khas oleh Allah, iaitu Raqib dan Atib.

Maka, jika kita tergolong dalam golongan yang bersikap acuh tidak acuh yang secara sedar atau tidak, berpendapat bahawa syurga dan neraka ‘hanya untuk orang mati’, maka seharusnya kita sedar bahawa, kita semua adalah calon si mati dan bakal menghuni liang lahad yang berupa taman syurga atau lubuk sengsara. Mereka yang sudah mati telah pun ditentukan balasan syurga atau neraka. Kita pula, bagaimana?

No comments: